BANCI TAHUNAN MAJIKAN & PEKERJA BAGI TAHUN 2026
SECARA DALAM TALIAN MELALUI PORTAL ONLINE BUSINESS REPORTING
(OBR)
1. Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan melaksanakan Banci Tahunan Majikan & Pekerja Bagi Tahun 2026 selama sebulan bermula 31 Oktober 2026 hingga 30 November 2026.
2. Sehubungan dengan itu, semua entiti perniagaan, institusi swasta, koperasi, persatuan, kelab dalam sektor swasta dan badan berkanun yang beroperasi di Negara Brunei Darussalam dipohonkan untuk mengemukakan dan melengkapkan maklumat semua pekerja tempatan dan asing yang masih berkhidmat setakat 30 Oktober 2026, termasuk maklumat majikan, pemilik atau pengurus, di portal Online Business Reporting (OBR) melalui laman sesawang: https://www.business.gov.bn/business-reporting/. Banci ini tidak termasuk perkhidmatan persendirian atau pekerja domestik.
3. Pengguna hendaklah menggunakan akaun Brunei ID atau e-Darussalam yang berdaftar atas nama majikan, pemilik, pengurus atau pekerja yang diberi kuasa oleh majikan, pemilik atau pengurus dalam entiti masing-masing. Panduan tatacara pengisian maklumat banci boleh dimuat turun melalui laman sesawang rasmi OBR.
4. Majikan, pemilik atau pengurus disarankan untuk melengkapkan sendiri maklumat banci, atau melalui pekerja yang diberi kuasa dalam entiti masing-masing, dan tidak menggunakan pihak ketiga atau ejen luar. Langkah ini bertujuan untuk melindungi kerahsiaan maklumat dan mengelakkan risiko penyalahgunaannya.
5. Dimaklumkan bahawa Resit Penyata yang telah dikeluarkan bagi Banci Tahunan Majikan & Pekerja bagi Tahun 2025 akan mansuh dan tidak lagi sah selepas 30 Oktober 2026.
6. Di bawah Peruntukan Akta Maklumat Pekerjaan 1974, Penggal 99 di bawah Bab 3(1), semua majikan dikehendaki melengkapkan borang Banci Tahunan Majikan & Pekerja. Menurut Bab 8(1) dalam Akta tersebut, mana-mana majikan yang:
a) dengan sengaja menolak atau mengabaikan untuk memberikan butir-butir atau maklumat yang diperlukan dalam tempoh yang ditetapkan, atau
b) dengan sengaja memberikan butir-butir atau maklumat palsu; atau
c) enggan menjawab atau dengan sengaja memberikan jawapan palsu dalam soalan yang perlu untuk mendapatkan apa-apa maklumat atau butir-butir yang dikehendaki di bawah Akta ini,
adalah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda sebanyak Dua Ribu Lima Ratus Dolar (BND2,500.00) dan penjara enam (6) bulan, dan jika berterusan, denda sebanyak Lima Puluh Dolar (BND50.00) sehari akan dikenakan.
7. Sokongan dan kerjasama semua entiti perniagaan, institusi swasta, koperasi, persatuan, kelab dalam sektor swasta serta badan berkanun dalam mengemukakan maklumat yang diperlukan amat dihargai bagi memastikan kelancaran dan kejayaan pelaksanaan banci ini.
8. Sebarang pertanyaan mengenai Banci Tahunan Majikan & Pekerja Bagi Tahun 2026 ini bolehlah dirujuk seperti berikut:
Kaunter Perkhidmatan Banci Majikan & Pekerja,
Ruang Legar Tingkat Bawah,
Ibu Pejabat Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (JTMP)
Jalan Dewan Majlis
Negara Brunei Darussalam
[Tel: 2383006/2380256 sambungan 1104/4503/4504]
E-mel: banci@jtmp.gov.bn
9. Kaunter perkhidmatan adalah beroperasi seperti berikut:-
| Hari | Jam |
| Isnin – Khamis & Sabtu (tidak termasuk Cuti Awam) |
8.00 pagi – 11.30 pagi 1.45 petang – 3.45 petang |
– TAMAT –
Disediakan oleh:
Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
Negara Brunei Darussalam
Telefon: 2381848 atau 2383006
Emel: info@jtmp.gov.bn
16 Jamadilawal 1448H / 27 Oktober 2026M
