Operasi Usai 204/2026
MAJIKAN MENJALANKAN KEGIATAN TIDAK SELARAS DENGAN KEBENARAN LESEN PEKERJA ASING ANTARA KESALAHAN DIDAPATI SEMASA PEMERIKSAAN DIJALANKAN
Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan telah menjalankan Operasi Usai 204/2026 di kawasan Kg Masin pada 02 September 2026, bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.
Pemeriksaan ke atas kegiatan bengkel membuat perabut rumah dan tempat tinggal pekerja telah mendapati sebanyak 05 kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan terhadap beberapa pekerja asing iaitu Bab 44 Membuat pemotongan gaji yang bertentangan dengan Akta Pekerjaan, Penggal 278, Bab 71 Majikan gagal memberikan cuti tahunan berbayar kepada pekerja-pekerja dan sebanyak 03 kesalahan majikan di bawah Bab 112(2) iaitu Kesalahan melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing, kegiatan yang dijalankan tidak selaras dengan kebenaran Lesen iaitu kegiatan pembinaan menjalankan kegiatan membuat perabut rumah untuk dijual kepada orang ramai, menempatkan pekerja-pekerja asing di kegiatan bukan di tapak pembinaan dan pekerja asing didapati melakukan pekerjaan tidak selaras dengan jawatan yang dibenarkan iaitu pekerja berjawatan pekerja binaan melakukan pekerjaan sebagai membuat perabut rumah.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti Majikan hendaklah membuat pemotongan gaji yang selaras dengan kehendak undang-undang, memberikan cuti tahunan berbayar setelah 3 bulan berkhidmat di syarikat yang sama, kegiatan yang dijalankan hendaklah selaras dengan kegiatan yang dibenarkan oleh Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan, menempatkan pekerja asing ditempat yang dibenarkan menurut alamat di Lesen Pekerja Asing dan memberikan pekerjaan kepada pekerja-pekerja di bawah jaminan selaras dengan jawatan yang dibenarkan oleh Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan.
Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).
Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan,
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
12 September 2026
